Monday, June 14, 2010
Cinta...cinta...cinta....
Semua orang ingin merasai nikmatnya percintaan. Naluri manusia inginkan percintaan, dari kanak-kanak sampailah ke tua, semuanya ingin bercinta dan masih ingin bercinta. Namun nasihatku, jangan lupa bahawa cinta itu bukan hanya nikmat. Ada pelbagai rasa. Ada suka bagi yang dilamun cinta. Ada duka bagi yang dikhianati cinta. Dan ada resah bagi yang masih belum bertemu cinta. Bertambah resah bila bertambahnya usia.
Cinta..cinta..dan cinta....ohhh!!!!
Duhai teman...dengarkanlah bicaraku ini seandainya dirimu masih ingin mendengarkannya. Mengapa masih resah dan gelisah? Mengapa masih menunggu cinta yang belum pasti. Usahlah berterusan dalam resah dan gelisahmu. Bangunlah dari mimpi yang penuh kepalsuan.
Realitinya, hidup ini bukan hanya untuk bercinta. Hidup ini ada tanggungjawab. Hidup ini ada matlamat. Selidikilah hakikat kejadianmu, laksanakanlah tanggungjawabmu, bergeraklah menuju matlamatmu yang lebih pasti.
'DariNya kita datang, kepadaNya kita kembali'
Sunday, April 4, 2010
Sekali terluka
Ada yang berkali-kali putus cinta, namun masih belum serik untuk bercinta lagi. Ada juga yang baru sekali sahaja putus cinta tapi sudah cukup serik untuk bercinta lagi.
Duhai hati yang serik …janganlah dirimu berputus asa dari rahmat Allah….Cinta yang gagal adalah didikan bukannya hukuman. Belajarlah dari kegagalan cinta yang lalu. Janganlah menghukum dirimu kerananya. Hidup ini penuh kejutan. Siapa tahu? mungkin ada cinta yang bakal merawati kelukaanmu. Yang pasti ada CINTA buatmu!
Berbahagialah…
Duhai hati yang sedang berduka…..usah dicemburui kebahagiaan mereka…tapi, hitunglah setiap kebahagiaan yang dimiliki olehmu…
Ya! Memang benar mereka sedang berbahagia, namun apakah benar mereka benar-benar sedang bahagia???? Selama manakah kebahagiaan akan bertahan? Apakah jaminannya?
Ya! Memang benar kedukaan sedang menyelimutimu, namun apakah benar dirimu benar-benar tidak bahagia?????
Lihatlah dirimu…disebalik kedukaanmu sebenarnya ada bahagia…bahagia yang tidak dapat dilihat tetapi dapat dirasai….kebahagiaan yang jauh lebih abadi…..renungilah kembali perjalananmu ketika hatimu dilukai…ketika dirimu tidak ada daya dan upaya…ketika penderitaan tidak mampu ditanggung….ketika dirimu bagaikan kehilangan roh untuk meneruskan kehidupan…ketika dirimu merasakan bahawa kematian itu adalah jauh lebih baik berbanding hidup di dunia realiti yang kejam….apapun yang dirasakan ketika itu, hakikatnya, kini dirimu masih di sini…..masih bernafas, masih meneruskan kehidupan, masih mampu tersenyum…semuanya kerana..adanya DIA.
DIA yang mendampingimu ketika dia berpaling darimu …DIA yang mendengar rintihanmu ketika dia memekakkan telinganya, DIA yang memberikan kekuatan dan pertolongan ketika dia mengabaikanmu…DIA yang memujuk hatimu sedangkan dia menjauh darimu, semuanya mampu dilalui kerana adanya DIA! Seandainya dirimu dilimpahi kebahagiaan…apakah mungkin dirimu akan menyedari dan merasai kewujudanNya? KekuasaanNYA? Kasih-sayangNYA?
Oleh itu…berbahagialah dengan kasih sayangNya! berbahagialah mengikut definisi sendiri! Cara sendiri!
Hilangnya cinta menemukan CINTA
Aku cinta padamu! . Perkataan yang begitu mudah untuk dilafazkan! Namun, bukan mudah untuk kita jatuh cinta dan bukan mudah untuk mengekalkan rasa cinta.
Indahnya hidup ini bila cinta berbalas. Dunia terasa begitu indah penuh warna-warni menambah seri kehidupan. Namun sebaliknya, bila cinta tidak dapat bertahan sebagaimana yang diharapkan. Dunia yang dulu penuh ceria kini bertukar suram. Ya, begitulah keadaannya bila putus cinta, bila yang dicintai mengkhianati cinta, bila yang dicintai tidak lagi mahu mencintai. Cintanya untuk kita telah pergi sedangkan cinta kita masih di sini membuat kita merana. Ke mana harus dibuang cinta yang tinggal? Di mana harus mencari ganti cinta yang hilang? Haruskah diratapi kehilangan cinta?
Buat saudaraku yang mungkin kini sedang kehilangan cinta. Janganlah bersedih lagi! Usah ditangisi cinta yang telah pergi. Sapulah air matamu. Jika cinta mu hilang, janganlah dirimu berputus asa. Carilah cinta yang terbaik buat dirimu atau mungkin saja dirimu akan menemukan CINTA!
Mulakan pencarian cinta/CINTAmu!
Lupakan cinta…ingatlah CINTA!
Bila bicara tentang cinta, pastinya cinta yang dimaksudkan adalah cinta kepada manusia. Alangkah bahagianya hidup ini seandainya kita dapat mencintai dan dicintai. Lebih bahagia lagi, jika dapat hidup bersama dengan orang yang kita cintai yang juga mencintai kita. Cinta yang lahir daripada perasaan kasih dan sayang, keserasian dan komitmen untuk sama-sama menempuhi kehidupan yang mendatang disempurnakan dengan ikatan perkahwinan. Kehidupan bertambah sempurna dengan kehadiran zuriat yang menyerikan kehidupan. Kemeriahan hidup dirasai dengan bertambahnya bilangan ahli keluarga sepanjang perkahwinan. Tambah bermakna jika zuriat yang dilahirkan membesar menjadi anak yang baik lagi soleh serta menyejukkan hati ibubapa. Namun, inikah namanya cinta? Inikah erti bahagia?
Semua orang ingin merasai kemanisan bercinta dan kebahagiaan hidup berkeluarga. Jika inilah erti cinta dan bahagia, bagaimana pula orang lain yang kurang bernasib baik dalam percintaan? Adakah tiada cinta maka tiada bahagia?
Sekiranya dirimu memiliki cinta, maka bersyukurlah atas kurniaan cinta yang dianugerahkan buatmu. Di puncak kebahagiaanmu, janganlah sekali-kali dirimu mengabaikan perasaan yang lain yang tidak dapat memiliki cinta seperti mana yang dirimu miliki. Bersederhanalah dirimu dalam tutur kata dan tingkahlakumu. Kebahagiaan yang dimiliki bukanlah milikmu untuk selama-selamanya. Bila-bila saja boleh ditarik balik!
Seandainya cinta yang dinanti-nantikan masih belum berkunjung tiba ataupun tidak kesampaian, maka bersabarlah. Cinta yang tepat akan datang bila sampai masa dan ketikanya. Seandainya cinta yang ditunggu-tunggu tetap tidak hadir, maka redhalah kepadaNya. Pujuklah hatimu. Janganlah bersedih hati. Cinta tidak dapat menjanjikan bahagia. Lihatlah berapa ramai manusia yang menderita akibat cinta dari makhluk bernama manusia. Bukalah mata hatimu. Lihatlah CINTA yang jauh lebih besar dan lebih Agung iaitu CINTA kepada PENCIPTA. Cinta yang tidak dapat dilihat dengan mata kasar tetapi dapat dirasai dengan hati. Cinta yang ada ‘warranty’ kebahagiaan, tiada ‘time limit’ dan tidak terhad di dunia sahaja. Bukankah itu yang lebih baik dan menguntungkan buat diri kita?
Fikir-fikirkan…
Lupakan cinta…ingatlah CINTA!