Buku Pilihanku

Sunday, April 4, 2010

Lupakan cinta…ingatlah CINTA!

Bila bicara tentang cinta, pastinya cinta yang dimaksudkan adalah cinta kepada manusia. Alangkah bahagianya hidup ini seandainya kita dapat mencintai dan dicintai. Lebih bahagia lagi, jika dapat hidup bersama dengan orang yang kita cintai yang juga mencintai kita. Cinta yang lahir daripada perasaan kasih dan sayang, keserasian dan komitmen untuk sama-sama menempuhi kehidupan yang mendatang disempurnakan dengan ikatan perkahwinan. Kehidupan bertambah sempurna dengan kehadiran zuriat yang menyerikan kehidupan. Kemeriahan hidup dirasai dengan bertambahnya bilangan ahli keluarga sepanjang perkahwinan. Tambah bermakna jika zuriat yang dilahirkan membesar menjadi anak yang baik lagi soleh serta menyejukkan hati ibubapa. Namun, inikah namanya cinta? Inikah erti bahagia?

Semua orang ingin merasai kemanisan bercinta dan kebahagiaan hidup berkeluarga. Jika inilah erti cinta dan bahagia, bagaimana pula orang lain yang kurang bernasib baik dalam percintaan? Adakah tiada cinta maka tiada bahagia?

Sekiranya dirimu memiliki cinta, maka bersyukurlah atas kurniaan cinta yang dianugerahkan buatmu. Di puncak kebahagiaanmu, janganlah sekali-kali dirimu mengabaikan perasaan yang lain yang tidak dapat memiliki cinta seperti mana yang dirimu miliki. Bersederhanalah dirimu dalam tutur kata dan tingkahlakumu. Kebahagiaan yang dimiliki bukanlah milikmu untuk selama-selamanya. Bila-bila saja boleh ditarik balik!

Seandainya cinta yang dinanti-nantikan masih belum berkunjung tiba ataupun tidak kesampaian, maka bersabarlah. Cinta yang tepat akan datang bila sampai masa dan ketikanya. Seandainya cinta yang ditunggu-tunggu tetap tidak hadir, maka redhalah kepadaNya. Pujuklah hatimu. Janganlah bersedih hati. Cinta tidak dapat menjanjikan bahagia. Lihatlah berapa ramai manusia yang menderita akibat cinta dari makhluk bernama manusia. Bukalah mata hatimu. Lihatlah CINTA yang jauh lebih besar dan lebih Agung iaitu CINTA kepada PENCIPTA. Cinta yang tidak dapat dilihat dengan mata kasar tetapi dapat dirasai dengan hati. Cinta yang ada ‘warranty’ kebahagiaan, tiada ‘time limit’ dan tidak terhad di dunia sahaja. Bukankah itu yang lebih baik dan menguntungkan buat diri kita?

Fikir-fikirkan…

Lupakan cinta…ingatlah CINTA!

No comments:

Post a Comment